RM27,000 Kompaun Dikeluarkan Kepada Perokok Di KLIA, LCCT


KUALA LUMPUR: Kompaun berjumlah RM27,774 telah dikeluarkan terhadap 244 individu termasuk 98 pelancong asing kerana merokok di kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baru-baru ini.

paru paru kesan merokok 300x256 RM27,000 Kompaun Dikeluarkan Kepada Perokok Di KLIA, LCCTPengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata setiap seorang dikenakan kompaun minimum RM250 dan sekiranya gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan didakwa di mahkamah di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

“Pejabat Kesihatan KLIA banyak menerima aduan mengenai orang awam yang merokok di kawasan larangan di KLIA dan LCCT.

“Ekoran itu operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 telah diadakan selama dua hari bermula 16 Disember lepas dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad

“Operasi itu memberi fokus kepada penguatkuasaan Peraturan 11 (1)(g) dan 11(1)(e), PPKHT 2004 di kawasan larangan merokok iaitu di Lapangan Terbang dan Hentian Pengangkutan Awam,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Azman berkata dalam operasi itu juga sejumlah 494 Notis Kesalahan dikeluarkan kepada perokok di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana merokok di kawasan larangan.

Beliau berkata pihak jabatan akan meneruskan operasi tersebut secara berkala di KLIA dan LCCT bagi mengawal dan memberi kesedaran kepada perokok serta melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok basi. – BERNAMA